Sabtu, 22 Ogos 2009

Ramadhan Cahaya Hidayah, Ujian dan Kepatuhan

by Muhtar Suhaili

Blessed Ramadhan

Celebrating The Joys And Warmth Of A Blessed Ramadhan”

Catatan dan pengalaman Mukhtar Suhaili di The Hague--Alhamdulillah, Ramadhan sudah memasuki fasa pertamanya. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan hambaNya yang beroleh ampunan dosa. “Ya Tuhan kami, terimalah solat kami, qiam kami, ruku’ kami, sujud kami dan doa-doa kami. Ya Tuhan kami, terimalah segala ‘amalan kami, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Ya Tuhan kami, terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang”.


Bagaimana perkembangan dan kemajuan mutu solat tarawikh tetamu ziarah yang budiman sekalian di separuh masa kedua piala taqwa di bulan Ramadhan yang penuh berkat ini? Adakah solat tarawikh kita berpakej lengkap dan penuh roh yang natijahnya membangun rohani? Adakah solat tarawikh kita cukup mantap sehingga menguatkan azam untuk membangun nilai agama dalam diri? Adakah solat tarawikh kita jitu lagi padu yang mampu meningkatkan rindu pada Syurga dan benci pada Neraka? Atau solat tarawikh kita hanya sekadar rutin harian yang mengundang bosan? Atau solat tarawikh kita sekadar aktiviti penuh skema mengisi masa lapang tanpa makna lagi terpaksa serta tiada keikhlasan? Atau solat tarawikh kita cuma ibadah palsu penuh nifaq lagi pura-pura yang hanya mengundang murka Ilahi?


Saya suka untuk berkongsi dengan tetamu ziarah sekalian suasana solat tarawikh di sini. Saya alhamdulillah berkesempatan menunaikan solat tarawikh di 3 buah masjid di The Hague ini iaitu Masjid Al-Muhsinin yang diurustadbir oleh rakan-rakan seaqidah dari Maghribi/ Morocco, Masjid Al-Aksa yang diimarahkan majoritinya oleh Muslimin berbangsa Turki dan Masjid As-Sunnah yang juga merupakan Pusat Islam Ibnu Taimiyyah di The Hague.


Di antara 3 masjid ini, saya paling seronok menunaikan solat tarawikh di Masjid As-Sunnah kerana bacaan 2 orang imam mudanya yang sangat indah dan menawan hati. Selain itu, bacaan doa qunut solat witir juga panjang dan penuh bersemangat, penuh munajat dan semangat perjuangan! Wallahi, seolah-olah berada di Masjidil Haram! Malah tazkirah-tazkirah iman dan ceramah-ceramah isu ummah yang disampaikan juga membangkit dan membakar nyala rasa untuk hidup beragama sekaligus memperjuangkannya. Benar solat tarawikhnya panjang tetapi tidak mengundang bosan. (Nota: 8 rakaat tetapi lebih panjang seperti 20 rakaat di Malaysia). Solat tarawikhnya tidak skema dan tidak penuh rambu-ramba tetapi membawa cinta kepada Allah dan Sunnah RasulNya!


Saya yakin dan percaya solat tarawikh dengan penuh ikhlas lagi khusyuk dalam suasana begini insya Allah mampu membangun jiwa!


Daripada pengalaman ini, satu perkara yang saya suka untuk nyatakan kepada tetamu ziarah yang budiman sekalian ialah benarlah betapa sesungguhnya bacaan ayat-ayat Al-Quran dengan menggunakan jalinan ritma menarik yang menyentuh sukma, meruntun qalbu dan sekaligus membangun jiwa adalah sebahagian daripada tanda kebesaran Kitab Suci yang mulia ini. Suara bacaan ayat-ayat Al-Quran yang indah dan penuh hikmat sebegini pasti membuat para pendengarnya dan sekalian makmum tenggelam dalam alam hakikat sekaligus menghanyutkan diri dalam suara Ilahiah dan memasrahkan diri kepadaNya. Masyuk nan indah!

Firman Allah di dalam Al-Qur’an, Surah Al-Anfal, ayat 2 yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut Allah gementar hatinya, dan apabila dibacakan ayat-ayat Allah kepadanya maka bertambahlah imannya, sedang mereka itu bertawakkal kepada Tuhannya.”

Al-Qur’an

Sejauhmana Perhubungan Cintamu Dengan Al-Qur’an?”

Seterusnya, di dalam Surah Al-Israa’ ayat 107 dan 108 Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya orang-orang yang diberi pengetahuan sebelumnya apabila Al-Quran dibacakan kepada mereka, mereka menyungkur atas muka mereka sambil bersujud. Mereka berkata, ‘Maha Suci Tuhan kami, sesungguhnya janji Tuhan kami pasti dipenuhi.’”

Ayat ini menunjukkan bahawa orang-orang yang memahami kandungan Al-Quran serta sisi-sisi keindahannya, pasti akan bersujud dan memuji keagungan Allah SWT. Ketika ayat-ayat Ilahi dibacakan dengan suara yang indah dan irama yang menarik, suara Al-Quran akan mampu meredakan api kemarahan di dalam dada dan menggantinya dengan rasa cinta dan kasih sayang, menghapuskan rasa duka lara dan seterusnya melahirkan rasa suka gembira serta membakulsampahkan sikap malas lagi riyak beribadah dan mengisinya dengan sikap rajin, ikhlas, telus, tulus dan mulus dalam menjalankan segala titah perintahNya dan menjauhi segala laranganNya.

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan

Sebagai penutup kepada entri ini dan sekaligus sebagai muhasabah diri, sekali lagi marilah kita hayati hadith Nabi SAW berikut:

Daripada Jabir bin Abdullah radhiallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam naik ke atas mimbar kemudian berkata: “Amin, amin, amin”. Para sahabat bertanya: “Kenapa engkau berkata amin, amin, amin, wahai Rasulullah?” Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Telah datang malaikat Jibril dan ia berkata: ‘Celaka seseorang yang masuk bulan Ramadhan tetapi keluar dari bulan Ramadhan tidak diampuni dosanya oleh Allah dan katakanlah amin!’, maka aku berkata: ‘Amin’. Kemudian Jibril berkata lagi: ‘Celaka seseorang yang mendapatkan kedua orang tuanya atau salah seorang dari keduanya masih hidup tetapi itu tidak memasukkan dia ke Syurga dan katakanlah amin!’, maka kukatakan: ‘Amin’. Kemudian Jibril berkata lagi: ‘Celaka seseorang yang jika disebut namamu namun dia tidak bershalawat kepadamu dan katakanlah amin!’, maka kukatakan: ‘Amin’.” (Riwayat Imam Al-Bukhari).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan