Khamis, 20 Ogos 2009

Petua Buka Puasa

oleh Norlaila Hamima Jamaluddin

Berdasarkan pengalaman Ramadan lalu, yang mana lebih kerap berlaku kepada anda? Adakah berat badan berkurang atau makin bertambah menjelang Aidilfitri? Kalau turun pun, biasanya berat badan bertambah semula dengan cepat, khususnya pada minggu pertama raya.

Bahkan ada yang mengadu berat badan bertambah sehingga 3 kilogram dalam masa tidak sampai 2 minggu selepas Hari Raya pertama! Tidak kurang juga yang berat badannya makin bertambah walaupun berpuasa sebulan.

Kedua-dua senario di atas adalah perkara biasa yang disebabkan tabiat pemakanan sepanjang Ramadhan.

Bagi yang mahu mengurangkan berat badan, bulan puasa masa paling sesuai untuk memulakan usaha ini kerana Ramadhan memberi peluang kita melakukan 'pembersihan badan' secara menyeluruh.

Mudah, Tapi Banyak Godaan

Langkah perlu dilakukan cukup mudah, iaitu hanya dengan menjaga pemakanan, melebihkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran dan minum banyak air — sekurang-kurangnya satu liter sehari, khususnya air masak.

Namun, bukan mudah untuk minum air sebanyak itu pada waktu malam kerana menyebabkan seseorang kerap ke tandas, tetapi ia perlu dilakukan bagi melancarkan sistem badan dan mengelak masalah ketika berpuasa.

Malah, untuk mengamalkan tabiat pemakanan sihat juga sebenarnya lebih mudah disebut daripada dilaksana, tambahan pula pada Ramadhan biasanya muncul beraneka jenis makanan yang jarang ditemui pada bulan lain.

Selain itu, kemunculan ramai peniaga sambilan yang kreatif menyukarkan lagi usaha ini kerana hati mana tidak tergoda melihat kepelbagaian lauk-pauk untuk berbuka, apatah lagi jika cara masakannya memenuhi selera kita.

Harus diingat bahawa Ramadhan sebenarnya bulan mendidik hati dan diri untuk bersabar serta lebih berdisiplin, terutama apabila menghadapi makanan. Masalahnya, ramai 'terlupa' dan kalau boleh mahu mencuba semua jenis makanan ketika berbuka, sedangkan kita mempunyai 30 hari puasa.

Perkara ini menyebabkan kita terdorong untuk mengambil makanan yang tidak diperlukan dan biasanya ia berakhir dengan pembaziran.

Minum Air Secukupnya

Cara terbaik untuk berbuka ialah memulakan dengan hidangan ringan seperti diamalkan Nabi Muhammad SAW iaitu kurma dan air.

Minuman terbaik ialah air masak. Boleh berbuka dengan air manis tetapi jangan minum terlalu banyak kerana kemanisan itu menyebabkan kita cepat letih ketika berpuasa.

Lebih banyak minum air masak, lebih baik. Untuk bulan puasa, saranan minum air 7 hingga 8 gelas air sehari (termasuk air manis, kopi dan teh) sebenarnya masih tidak mencukupi kerana kopi dan teh mempunyai kesan diuretik yang akan membuatkan kita kencing lebih banyak.

Tidak mahu kerap ke tandas pada waktu malam dan berasa perut 'terlalu penuh' menyebabkan ramai tidak minum air secukupnya. Namun tahukah anda, keletihan dan sakit kepala yang dialami kebanyakan orang sepanjang Ramadhan sebenarnya disebabkan kekurangan air dalam badan.

Kawalan Lebih Baik

Puasa diakui secara saintifik sebagai satu cara untuk mengekal dan meningkatkan tahap kesihatan. Banyak kajian menunjukkan kawalan gula rata-rata pesakit kencing manis adalah lebih baik pada Ramadhan berbanding bulan lain.

Begitu juga masalah tekanan darah tinggi, kolesterol dan obesiti. Antara masalah yang kerap dialami kebanyakan orang sepanjang Ramadhan ialah :

# Keletihan
# Pening
# Sakit kepala
# Sembelit
# Penghadaman terganggu
# Paras gula rendah
# Kejang otot
# Ulser peptik
# Pedih ulu hati
# Gastrik
# Mudah jatuh sakit
# Berat badan menurun
# Berat badan bertambah

Semua masalah yang disenarai di atas boleh diatasi dengan menjaga pemakanan. Pemakanan pada bulan puasa sama seperti hari tidak berpuasa, bezanya cuma waktu makan.

Lebih ringkas, lebih baik kerana selain memenuhi tuntutan agama dan menimbulkan keinsafan, puasa menjadi jalan mudah mengekalkan kesihatan. Justeru, berat badan kita patut kekal sepanjang berpuasa.

Menurunkan Berat Badan

Bagi yang ingin menurunkan berat badan, ini adalah waktu terbaik. Malah, usaha menurunkan berat badan lebih mudah pada bulan puasa kerana ketika kita kurang makan, kita masih menggunakan jumlah tenaga sama.

Kesan dapat dilihat lebih jelas jika kita turut melakukan senaman ringan seperti berjalan cepat sekurang-kurangnya selama 20 hingga 30 minit setiap hari. Ini kerana lemak adalah sumber tenaga yang paling sukar digunakan.

Lemak dalam simpanan hanya ditukar ke bentuk tenaga apabila kita melakukan aktiviti cergas yang membuat degupan jantung mencecah kadar degupan sasaran atau sehingga kita terasa mengah tetapi masih boleh bercakap. Ini dapat dilakukan apabila kita bersenam selama 20 hingga 30 minit.

Lanjutkan senaman anda pada waktu malam dengan solat tarawih kerana ada kajian mendapati solat terawih boleh membakar sehingga 200 kalori. Ini bersamaan dengan berjalan cepat atau menari selama 30 minit! Jadi anda mendapat 2 manfaat pada satu masa.

Walaupun ramai memberi alasan penat, bersenam ketika puasa boleh meningkatkan tenaga dan membuatkan badan lebih segar. Yang penting, ia dilakukan secara bersederhana, dilakukan dalam cuaca yang tidak terlalu panas dan berhenti apabila terasa penat.

Ia juga membantu memudahkan pesakit mengawal penyakit mereka, meningkatkan keseimbangan, menguatkan tulang, menyingkir toksik dari badan, meningkatkan sistem imun, menambah keanjalan otot dan lebih menarik, ia dapat memperbaiki bentuk badan.

Pilihan Makan Ketika Berbuka dan Sahur

Cara disarankan ialah memulakan berbuka dengan sajian ringan. Memadai berbuka dengan kurma, air, bijirin atau roti mil penuh. Hanya selepas solat Maghrib baru makan sajian lebih berat mengandungi sumber karbohidrat, protein dan serat.

Bagi yang mahu makan selepas solat tarawih, pilih makanan ringan seperti buah-buahan. Kita sepatutnya memberi 'badan' rehat daripada makanan sebelum tidur untuk mengelak makanan tidak sempat dihadam.

Sepatutnya sajian paling berat diambil ketika sahur. Usah tinggalkan sahur kerana sahur mempunyai banyak hikmatnya. Sahur bermakna hari baru sudah bermula. Ini sebabnya kita digalak melewatkan sahur dan jangan sambung tidur selepas makan.

Minum air sebanyak mungkin bermula daripada berbuka hinggalah bersahur. Jenis air termasuk sup, jus buah, minuman manis, kopi, teh dan air kosong.

Namun lebih baik jika melebihkan minum air kosong. Kalau mahu jus buah, pilih jus rendah gula atau buat sendiri. Elak minum jus buah daripada kordial kerana ia mengandungi banyak gula. Antara cara lain ialah bawa air diminum antara solat.

Jenis makanan yang perlu dielak? Makanan berlemak, berminyak dan bersantan. Ini termasuk kuih muih yang tinggi kandungan kalorinya. Kurangkan makanan bergoreng kerana ia boleh meningkatkan selera dan menyebabkan kita makan lebih banyak.

Makan perlahan-lahan dan kunyah makanan hingga hancur baru ditelan. Jika kita makan atau minum terlalu cepat, kita sebenarnya memasukkan banyak udara ke dalam badan yang menyebabkan masalah perut berangin. Selain itu elak minum minuman berkarbonat ketika berbuka kerana ia juga menyebabkan masalah ini.

Bagi individu yang mahu menguruskan badan, kurangkan makan kuih muih pada bulan puasa. Sentiasa cuba kurangkan pengambilan makanan, sama ada ketika berbuka atau sahur. Jika anda sukar menahan keinginan, belajar menolak apabila dipelawa berbuka secara bufet.

Biasanya pada penghujung Ramadan, ramai kurang berselera makan dan tidak banyak minum air. Ini menyebabkan berat badan mereka menurun.

Namun jangan salah sangka, berat yang hilang sebenarnya berat air dan ia akan kembali apabila kita mula makan seperti biasa ketika hari raya. Ini sebabnya ada yang mengadu berat badan mereka bertambah 2-3 kilogram pada minggu pertama Syawal.

Penurunan berat badan ideal ialah setengah kilogram seminggu atau 2 kilogram sebulan. Walaupun tidak menyarankan pengambilan buah-buahan sebagai sajian pertama ketika berbuka, ia boleh dilakukan bagi individu yang mahu mengurangkan berat badan kerana kandungan serat dalam buah membuatkan seseorang cepat kenyang. Melalui cara ini individu itu terhindar daripada makan makanan lain secara berlebihan.

Bagi yang berasa tidak sihat dan tidak berselera sepanjang Ramadan, adalah disarankan supaya mengambil makanan tambahan untuk mengelak masalah kekurangan zat dan keletihan melampau.

Makanan tambahan ini boleh diambil pada bila-bila masa, sama ada ketika berbuka atau sahur mengikut keselesaan masing-masing. ) (sumber-http://info-kesihatan-anda.blogspot.com/search/label/Fasting)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan