Rabu, 26 Ogos 2009

Khasiat Kurma


Buah kurma atau dalam bahasa Arab, tamar adalah dari jenis palm seperti kelapa sawit sementara buahnya bertangkai seperti buah pinang. Kurma mengandungi khasiat pemakanan yang tinggi seperti kismis dan aprikot kering. Antaranya kurma kaya dengan protein, serat, gula, vitamin A dan C serta zat galian seperti besi, kalsium, sodium dan potasium.

Kandungan protein didalam kurma lebih kurang 2 %, serat hampir 4 % manakala kandungan gulanya 50 hingga 57 % glukosa. Ini menunjukkan kandungan gula didalamnya telah ditukar secara semulajadi. Bermakna apabila kita memakan kurma, tenaga yang diserap badan adalah serta merta. Gula didalam kebanyakan buah-buahan dikenali sebagai fraktosa dan gula tebu atau gula pasir yang biasa mengandungi sukrosa tidak boleh menyerap terus dalam badan. Ia terpaksa dipecahkan dahulu oleh enzim sebelum bertukar menjadi glukosa lalu diserap badan sebagai tenaga.

Kulit kurma yang mengandungi serat, amat baik untuk mencegah barah usus besar kerana ia melawaskan. Sementara kandungan vitamin A dan C amat tinggi dan banyak mengandungi potasium yang diperlukan oleh badan untuk sistem saraf. Memang dalam susu, yogurt dan makanan laut juga mengandungi potasium tetapi jumlahnya sedikit.

Pengambilan potasium yang berlebihan tidak mengumpul toksik didalam badan dan tidak memudaratkan. Sebaliknya ia merangsang selera makan bagi yang berpenyakit serta bagus untuk golongan yang mengalami sembelit, lemah otot, sengal-sengal badan, letih, lesu, mengalami tekanan serta menguatkan daya ingatan. Ramai beranggapan hanya kismis yang baik untuk menguatkan ingatan, sebenarnya kurma juga adalah setanding. Mungkin atas alasan pihak-pihak tertentu atau negara pengeluar anggur telah menjalankan kempen makan kismis dan mempopularkan khasiatnya.

Kurma diakui sebagai buah berkhasiat dan sebagaimana Firma Allah s.w.t. dalam surat al_Mukminah ayat 19, “Kemudian Kami tumbuhkan kerananya kebun kurma dan anggur untuk kamu. Disana kamu peroleh buah-buahan yang banyak dan sebahagiannya kamu makan”.

Umat Islam digalakkan berbuka dengan kurma bersandarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang mana maksudnya “Rumah yang tiada kurma seperti rumah yang tidak mempunyai makanan”. Kurma diangkat tinggi oleh Rasulullah kerana mempunyai nilai kandungan makanan yang tinggi.

Dalam bidang perubatan dengan ketiadaan kolestrol, lemak dan gula di dalam kurma, ia amat baik untuk meredakan tekanan darah tinggi. Dalam perubatan homeopathy, biji kurma dikisar halus atau dijadikan serbuk seperti teh, direndam dan diminum bagi menyembuhkan pelbagi jenis penyakit. Melalui petua tertentu, kurma dimakan bersama badam dan madu untuk menyembuhkan penyakit. Kurma dikatakan menambah tenaga batin.

Jus buah kurma mungkin baru dinegara ini. Dinegara pengeluar selain dimakan segar, kering atau salai, kurma dibuang biji dan diganti dengan kacang tanah, badam atau gajus bagi menambahkan keenakannya. Kurma juga dibuat jem, sirap atau bahan tambahan dalam aiskrim.

Kita seharusnya memakan buah kurma bukan hanya dalam bulan puasa sahaja. Kurma baik dijadikan pengganti makanan ringan yang hanya mengandungi karbohidrat, garam, lemak dan gula berlebihan yang boleh membawa pelbagai jenis penyakit.

Ketibaan bulan Ramadan tidak meriah tanpa dapat menikmati buah tamar sebagai juadahberbuka puasa. Seperti menjadi satu kewajipan bagi setiap rumah untuk membelinya tidak kira dari jenis, gred yang paling rendah atau yang paling mahal seperti tamar ajwah (or agwah??) ‘pure’ Madinah yang berharga RM120.00 sekilo pada hari biasa manakala pada bulan ramadan harganya menjadi lebih mahal.

Tamar juga menurut kajian sains merupakan buah yang khasiat dan kandungan gulanya cepat meresap ke dalam tubuh. Kita selalu mendengar kisah2 Rasulullah s.a.w. dengan pohon tamar. Nyata pohon tamar punya sejarah yang cukup unik dan masih ramai tidak mengetahuinya.

Syukur dengan berkat mengunjungi Makkah dan Madinah untuk mengerjakan umrah semasa pengambaran Drama Cinta Madinah yang bakal disiarkan ceritanya pada saluran RTM bulan ini, saya dan semua krew dan artis memperolehi satu lagi cerita istimewa asal-usul kejadian pokok tamar dari Tuan Haji Isa Darus atau Pak Long (Kisah Pak Long Isa pernah tersiar dalam Anis julai lalu).

Menurut cerita Pak Long , asal-usul kejadian pokok tamar adalah dari lebihan tanah yang Allah s.w.t. ciptakan Nabi Adam a.s. Pokok tamar betina tumbuh pada zaman Siti Maryam. Selepas Maryam melahirkan anaknya Nabi Isa a.s., Siti Maryam telah diminta oleh Allah s.w.t untuk menggoncangkan pohon tamar yang terdapat di tempat dia melahirkan anaknya lalu gugurlah buah tamar masak dan di makan oleh Siti Maryam.

Itulah sejarah yang pertama tamar menjadi ubat berkhasiat kepada manusia. Siti Maryam dapat mengalas perut untuk mengumpul tenaga selepas selamat bersalin hanya dengan makan tamar, tanpa tumbuhan herba yang lain. Ditakdirkan Allah s.w.t. dengan kelahiran Nabi Isa a.s. itu juga, Allah s.w.t. telah tumbuhkan pokok tamar jantan di sebelah pokok tamar betina. Dan untuk tujuan mendapat hasil buah tamar yang elok ia juga harus dilakukan menerusi kaedah ‘kahwin bunga’ (melakukan proses pendebungaan betina dengan debu bunga jantan).

Untuk mengenali perbezaan di antara tamar jantan dengan tamar betina, tamar jantan lebih tinggi pohonnya, berdaun keras menjulang ke langit.Pokok tamar betina rendah sedikit dan daunnya dmelintuk ke bawah. Pada bulan februari pohon tamar jantan berbunga setahun sekali sama dengan tamar betina . Bezanya bunga jantan ia mengeluarkan debu-debu halus. Pada bulan ini ketika tamar betinamengeluarkan bunga, petugas (terdiri dari mereka yang berbangsa Arab) akan memanjat pokok tamar betina dan dijalankan proses kahwin bunga, ditepuk-tepuk,disapu dua tiga ranting bunga jantan kepada setandan bunga betina yang terkembang dari tandannya.

Ternyata untuk menghasilkan buah tamar yang elok berkualiti, ia mesti ‘disenyawakan’ oleh tangan manusia, tidak boleh melalui binatang atau diterbangkan oleh angin. Pokok tamar tidak akan berbuah dengan sempurna jika tidak dicantum oleh tangan manusia. Buah tamar tidak akan masak jika suhu kurang dari 55 darjah Celcius.

Bulan Julai adalah musim tamar masak ranum manakala bulan ogos adalah musim menuai. Menurut Pak Long Haji Isa, bagi sebuah kebun memadai ada beberapa batang sahaja pokok tamar jantan berbanding dengan ratusan pokok tamar betina, kerana debunga pada satu dahan pohon tamar jantan boleh digunakan untuk proses pendebungaan dengan ratusan tandan pada pokok tamar betina. Debu yang perlu digunakan pada setiap pokok terlalu sedikit. Bunga jantan ini juga boleh disimpan di tempat yang kering untuk kegunaan berulang-ulang kali selagi debunganya masih ada.

“Allah s.w.t. jadikan buah tamar cukup istimewa. Cuba perhatikan sepanjang ia berada di atas pokok tidak ada seekor binatang atau burung yang mematuk atau merosakkannya. Ini kerana buah tidak berbau. Allah s.w.t pelihara dan memuliakannya. Ia mesti disenyawakan oleh tangan manusia. Di Madinah hanya bangsa Arab sahaja yang sanggup panjat dan turun naik ke atas pokok tamar untuk lakukan kerja pencantuman ini. Bangsa lain tak mampu, tenaga tak sekuat bangsa ni.” Jelas Pak Long.

Pokok Tamar ‘ayah saudara’ kita….Mula-mula kami juga bingung kenapa keunikan ini berlaku pada buah yang istimewa ini, lalu Mak Long Normah Morad, isteri Hj Isa Darus beri kami sentuh debu jantan, “Gosok pada tangan dan cium,” katanya. “Masya-Allah bau air mani,” kata kami tergamam.

“Ya, memang bau air mani, bau ini bukan semua makhluk suka. Pokok tamar kalau mahukan buahnya elok, ia mesti disenyawakaan oleh tangan manusia, sebab pokok ini Allah s.w.t. jadikan dari lebihan tanah kejadian Nabi Adam a.s.”

“Ringkasnya, dia umpama pak menakan(ayah saudara) kita. Sebab itu kita tak boleh pandang remeh padanya. Rasulullah s.a.w. dan Nabi-Nabi lain sangat sayang padanya. Sebab itu dikatakan sebaik-baik buah yang serasi dengan badan kita adalah buah tamar kerana ia sebahagian dari kita. Jadi setiap kali menjamah tamar ingat-ingatlah asal kejadiannya. Buah ini tidak berbau kerana Allah s.w.t. nak pelihara kesuciannya di samping mudah untuk kita menguruskannya
dengan kelebihan cuaca yang panas kering. Penjual tak risau lalat atau semut kerana bumi barakah ini.”Ujar Pak Long dengan senyum lebar.

Petikan artikel dari Majalah Anis keluaran Oktober 2005.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan